CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, September 8, 2008

Aktiviti berfikir galak makan lebih banyak

Kerja intelektual perlukan kalori berlebihan, penyumbang gemuk

ONTARIO: Satu kajian baru mendedahkan aktiviti intelektual sebenarnya menjadikan orang ramai makan lebih banyak berbanding sekadar berehat.

Hasil kajian berkenaan mungkin membantu menjelaskan masalah kegemukan di kalangan masyarakat yang cuma duduk dan berfikir, lapor LiveScience.com.

Penyelidik membahagikan 14 penuntut universiti kepada tiga kumpulan untuk sesi selama 45 minit sama ada berehat dalam keadaan duduk, membaca atau mengingati teks, atau menyelesaikan siri ujian memori, perhatian dan teka teki pada komputer.

Saintis mendapati, kumpulan pemikir berkenaan mengambil cuma tiga kalori lebih berbanding kumpulan yang berehat. Selepas sesi itu, peserta dijemput makan sebanyak yang mereka mahukan.

Walaupun kajian membabitkan jumlah peserta yang amat kecil, hasilnya mengejutkan. Penuntut yang melakukan ujian komputer mengambil 253 lebih kalori, atau 29.4 peratus lebih berbanding kumpulan yang berehat. Mereka yang mengingati teks pula mengambil 203 lebih kalori berbanding kumpulan berehat.

Contoh darah yang diambil sebelum, ketika dan selepas mendedahkan kerja intelektual menyebabkan perubahan lebih besar dalam paras glukos berbanding tempoh rehat, kemungkinan berpunca dari tekanan berfikir.

Penyelidik menganggarkan reaksi tubuh kepada perubahan itu dengan menghendaki lebih banyak makanan untuk mengembalikan glukos, gula yang memberi tenaga kepada otak. Glukos ditukar oleh tubuh dari karbohidrat dan dibekalkan kepada otak menerusi saluran darah.

Otak tidak dapat menghasilkan glukos dan memerlukan bekalan berpanjangan. Sel otak memerlukan tenaga dua kali lebih banyak berbanding sel lain dalam tubuh.

Bagaimanapun, tanpa senaman untuk menyeimbangkan pengambilan tambahan, 'makanan otak mungkin tidak terlalu bijak.' Pelbagai kajian pada haiwan menunjukkan pengambilan sedikit kalori secara keseluruhan membawa kepada otak lebih tajam dan umur lebih panjang dan kebanyakan penyelidik bersetuju kajian itu turut memberi kesan sama pada manusia secara umumnya dan jelas banyak makan menjadikan seseorang itu gemuk.

"Pengambilan kalori berlebihan berikutan kerja intelektual, digabungkan dengan hakikat mereka kurang melakukan aktiviti fizikal ketika melakukan tugasan intelektual, mungkin menyumbang kepada wabak kegemukan yang kini semakin diawasi di negara maju, " kata ketua penyelidik, Jean-Philippe Chaput di Universiti Laval di Quebec City, Kanada.

0 comments: