CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, September 8, 2008

Cara Mengelak Gigi Rosak atau Reput

Boleh dikatakan hampir setiap orang mengalami kerosakan gigi, tetapi mengenangkan rasa ngilu apabila gigi dibersihkan membuat ramai lebih rela memendamkan masalah dalam mulut sehingga melarat.

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Teo Choo Kum, berkata dua masalah utama melanda masyarakat kita, khususnya di kalangan orang dewasa, iaitu pereputan gigi dan masalah kesihatan gusi.

Berdasarkan kajian, kadar pereputan gigi paling tinggi berlaku di kalangan golongan berumur 35 hingga 44 tahun iaitu sebanyak 96.5 peratus, diikuti 91.5 peratus (25 hingga 39 tahun) dan 80.9 peratus di kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Mengapa kadar pereputan gigi paling tinggi berlaku di kalangan orang dewasa yang sepatutnya lebih peka pada kebersihan dan kesihatan mulut mereka? Faktor gaya hidup, kesibukan kerja dan kecuaian menyebabkan mereka menangguhkan temu janji dengan doktor gigi, walaupun ia hanya perlu dilakukan dua kali dalam setahun.

Keadaan sebaliknya berlaku di kalangan pelajar sekolah yang lebih kerap menjalani pemeriksaan gigi oleh jururawat yang datang ke sekolah atau pergi sendiri ke klinik.

Walaupun secara keseluruhan kadar masalah kerosakan gigi menunjukkan pengurangan, tetapi berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak di negara kita antara paling banyak mengalami masalah kesihatan mulut, khususnya pereputan dan kehilangan gigi, serta menjalani rawatan tampalan.

Dr Teo berkata, pereputan gigi kanak-kanak biasanya bermula dari atas (hujung gigi) manakala bagi orang dewasa masalah pereputan berlaku di celah-celah gigi.



Bakteria dalam mulut akan bertindak ke atas makanan yang tertinggal atau terselit di celah gigi, menghasilkan lapisan melekit berwarna putih kekuningan di panggil plak.

“Jika gigi tidak dibersihkan dengan baik, lapisan bakteria ini akan terus membiak. Apabila kita makan makanan bergula atau berkanji, bakteria akan menghasilkan asid untuk menyerang enamel (lapisan luar gigi). Kehadiran plak akan memudahkan asid melekat pada enamel, lama kelamaan menyebabkan gigi reput dan berlubang.

Gusi berdarah

“Simptom kerosakan gigi mudah dikesan, tetapi ramai mengabaikannya. Pada awalnya gigi akan sensitif (rasa ngilu) pada makanan manis, masam dan sejuk, gusi berdarah apabila memberus gigi atau gusi bengkak dan merah.

“Ini adalah tanda-tanda awal gingivitis dan jika tidak mendapatkan rawatan, gigi akan rosak dan reput. Seterusnya, anda juga sensitif terhadap makanan panas dan ini biasanya mula dirasai apabila anda sakit gigi,” katanya.

Plak yang terkumpul akan menjadi keras membentuk kalkulus (tartar). Kalkulus yang melekat pada gusi juga menjadi laluan untuk bakteria menyerang dan merosakkan tulang rahang; yang akhirnya menyebabkan gigi goyang. Pada peringkat serius, gigi boleh tercabut dengan mudah kerana tulang rahang yang sepatutnya menjadi pemegang sudah diserang bakteria.

Penjagaan gigi seharusnya bermula dari kecil, iaitu sebaik anak mula tumbuh gigi (sekitar usia enam bulan). Ketika ini, ibu bapa boleh memupuk tabiat menjaga kesihatan mulut dengan menggosok gigi anak dengan kain lembut selepas menyusu.

Dr Teo berkata, gigi susu yang rosak juga sebaik-baiknya dirawat atau ditampal jika berlubang. Ini bertujuan mengekalkan gigi susu di kedudukan asalnya sebagai panduan kepada laluan gigi kekal supaya ia tumbuh cantik dan teratur.

Antara teknik rawatan gigi yang sering digunakan termasuk tampalan, pengkoronaan (crowning) iaitu gigi palsu dibentuk dan disalut pada gigi reput, brigde atau implan gigi palsu — yang semuanya perlu dijaga seperti gigi asli.

“Penggunaan flos juga penting untuk membersihkan bahagian celah gigi yang sukar dicapai berus. Selain itu, cecair kumur juga mampu membantu mengurangkan masalah kerosakan gigi, selain mengharumkan nafas.

“Pastikan juga gusi anda sentiasa sihat. Gusi yang sihat berwarna merah jambu atau merah samar. Jika gusi bengkak, merah, sakit dan sering berdarah atau ulser yang tidak sembuh selepas dua minggu, anda dinasihatkan berjumpa doktor gigi. Ia mungkin petanda penyakit lain. Jangan tunggu hingga sakit gigi atau gusi baru hendak jumpa doktor,” katanya.

Gigi rosak bukan saja tidak cantik, tetapi ia sebenarnya memberi gambaran jelas mengenai keprihatinan kita menjaga kebersihan diri. Malah, kerosakan gigi juga secara tidak langsung mampu menjejaskan imej dan keyakinan seseorang.

0 comments: