CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, September 8, 2008

4 KEDIAMAN TERMEWAH

ANTILLA, 'istana' Mukesh Ambani mengungguli senarai kediaman termahal di dunia hanya selepas ia siap dibina pada Januari 2009.

Sehingga detik itu, empat kediaman yang menjadi sebutan seluruh dunia ialah;

Villa La Leopolda
Nilai semasa: RM1.6 bilion

KEDIAMAN Roman Abramovich, pemilik kelab bola sepak Chelsea, diisytiharkan yang termewah di dunia kerana dibeli dengan harga RM1.6 bilion.

Keputusan membeli villa di atas bukit mengadap French Riviera itu dibuat selepas jutawan Russia itu terpaut dengannya ketika bersiar-siar di kawasan berkenaan bersama teman wanitanya, Daria Zhukova.


Villa berwarna krim bergelar La Leopolda itu bukan saja dikenali kerana panorama menakjubkan laut selatan Perancis, tetapi juga terletak di kawasan kaya alam semula jadi selain di kawasan itu turut dibina rumah peranginan Villefranche.

Seramai 50 tukang kebun diupah untuk menyelenggarakan landskap seluas 8 hektar yang ditanam dengan 1,200 pokok saru, zaitun, limau dan lemon.

Pemilik sebelumnya termasuk tokoh perbankan terkemuka mendiang Edmund Safra; pengasas Microsoft, Bill Gates dan hartawan perusahaan kereta Fiat, Gianni Agnelli.

Asalnya, villa ini dibina untuk perempuan simpanan Raja Belgium, King Leopold II. Namun, pada 1916 ketika perang dunia pertama, anak saudara juga pewarisnya, King Albert I mengubah fungsi kediaman itu menjadi hospital pegawai tentera yang cedera dalam pertempuran.

Setiap bulan, Abramovich perlu membayar kira-kira RM94 juta untuk gadai janjinya.

Ini bukan kali pertama dia membeli hartanah kerana sebelum ini, dia turut memiliki Chateau de la Croe yang terletak tidak jauh dari La Leopolda, bernilai RM94 juta. Kediaman ini dulunya dihuni bekas monarki British, Duke of Windsor yang melarikan diri dengan Wallace Simpson pada 1938.

Abramovich juga pemilik hartanah di Knightsbridge, Sussex dan Russia.

Updown Court Windlesham

Lokasi: Surrey, England

Nilai semasa: RM458 juta

Luas kediaman: 60,000 kaki persegi

DITAWARKAN untuk jualan pada 2005. Kediaman 103 buah bilik yang dibina di atas tanah seluas 23.2 hektar ini menyajikan panorama berlandskap dan hutan kecil.

Terletak di pinggir desa yang menampilkan pemandangan alam semula jadi, kelebihan ini mengundang fantasi buat penghuninya terutama yang mengimpikan kehidupan cerita dongeng kanak-kanak.

Selain lobi dan dewan tari-menari yang tersergam indah, rumah agam ini turut menyediakan bilik panik, sebuah gelanggang skuasy, sebuah pusat boling, lapangan helikopter mendarat, pawagam memuatkan 50 penonton, garaj bagi lapan limosin manakala laluan masuk ke rumah dilitupi marmar sekali gus menguatkan lagi ciri mewahnya.

Dua puluh dua daripada 103 bilik adalah bilik tidur dilengkapi kamar mandi berkemasan jubin.

Starwood/Hala Ranch

Lokasi: Aspen, Colorado, Amerika Syarikat

Nilai semasa: RM448 juta

Luas kediaman: 56,000 kaki persegi

DIILHAMKAN daripada perkataan Arab ‘Ahalan’ yang bermaksud selamat datang, Hala Ranch yang juga dikenali sebagai Starwood Ranch adalah kediaman terbesar di barat Amerika Syarikat dan kedua terbesar seluruh dunia.

Sebelum ini, Hala Ranch milik duta Arab Saudi yang ditugaskan di Amerika Syarikat, Putera Bandar bin Sultan. Namun, kini terpaksa dijual kerana putera itu menjawat jawatan baru sebagai kaunselor keselamatan negara di tanah airnya, Arab Saudi.

Menakjubkan kerana luas bahagian tengahnya saja mampu menyaingi ukuran Rumah Putih. Kediaman ini menawarkan 15 bilik tidur dengan setiap satunya berkembar patio bersama 16 bilik air.

Lif dibina bagi pengunjung menjelajah seisi rumah yang ditunjangi hiasan dalaman dan kemasan daripada kayu mahogani, gangsa selain tingkap kaca berwarna.

Bilik tetamu dibina bersambung dengan taman dalam rumah yang mengandungi kolam renang dan air terjun buatan selain diberi jaminan keselamatan menerusi sistem penggera canggih.

Maison de L'Amitie

Lokasi: Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat

Nilai semasa: RM415 juta

Luas kediaman: 43,000 kaki persegi

RUMAH agam ini dibeli Donald Trump pada 2004 dalam satu lelongan dengan harga RM136 juta. Pemilik asalnya ialah bekas eksekutif kesihatan, Abe Gosman.

Kediaman mengagumkan ini menawarkan dewan tari-menari, rumah pemuliharaan (konservatori) selain sebuah kolam renang sepanjang 100 kaki.

Trump menetapkan harga jualan semula sejumlah RM125 juta. Matlamatnya ialah memecahkan rekod syarikat hartanah Ron Perelman yang berjaya menjual rumah termahal di Palm Beach Florida pada 2004 dengan nilaian RM232 juta.

Maruah Jalur Gemilang



Bendera sebagai lambang sebuah negara, simbol aspirasi rakyat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia

MALAM 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor bermandi cahaya dan lautan manusia. Rakyat pelbagai kaum, jauh dan dekat hadir dengan satu matlamat; ingin meraikan detik pembebasan negara dari belenggu penjajahan Inggeris.

Perbezaan agama dan budaya ditolak tepi, jurang sosial dan komunikasi dilupakan, fahaman politik dipinggirkan malah beza warna kulit tidak langsung diambil peduli.

Tepat jam 12.01 malam, padang di kelab berprestij itu bergema dengan laungan ‘Merdeka!’ seiring upacara menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Detik itu juga, lagu Negaraku diperdengarkan kepada umum. Selama berkurun di bawah perintah asing, malam itu, bendera Union Jack ‘turun takhta’.

Bendera meskipun ditakrifkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan, juga dikenali panji dan obor namun malam itu darjatnya besar. Ia dilihat simbol aspirasi rakyat yang menginginkan kehidupan aman, makmur, maju dan bersatu padu.

Meskipun, sejak merdeka, ada kesungguhan menyatupadukan rakyat melalui bendera, kini, kredibilitinya bagai dicabar apabila berlaku satu demi satu insiden memalukan membabitkannya.

Peristiwa membakar Jalur Gemilang dalam satu rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Terengganu pada 8 September 2007 masih basah dalam ingatan. Belum pun mencecah setahun, kini ada ura-ura menyambut kemerdekaan dengan mengibarkan bendera secara terbalik oleh penulis blog.

Perlakuan ini disifatkan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah merangkap Penyelaras Rancangan Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Arba’iyah Mohd Nor sebagai perpaduan membawa rebah.

Menyebut berpunca perasaan hormat yang kian pudar, Arba’iyah menasihatkan masyarakat lebih rasional dalam membezakan pemimpin yang menerajui kerajaan dengan bendera lambang negara.

“Pemimpin adalah mereka yang mentadbir negara melalui undian suara majoriti. Mereka datang dan pergi bila tiba masanya. Sementara, bendera mewakili negara bukan individu atau parti kerajaan. Ia simbol martabat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia. Kedudukannya setaraf dengan Perlembagaan,” katanya.

Justeru, perbuatan membakar bendera bukan saja diibaratkan membakar hangus negara tetapi memijak lumat martabat dan maruah diri.

“Bayangkan pula panji kebesaran kita ini dimusnahkan negara luar? Sudah tentu kita rasa tercabar. Jadi, jangan kerana marahkan pihak tertentu, bendera menjadi korban. Seharusnya, kita tanpa mengira kaum mempertahankan kedaulatan bendera dari dicalar dan dicemari, sebagaimana kita berjuang menentang musuh di medan pertempuran,” ujarnya.

Jalur Gemilang yang suatu ketika dulu dipanggil bendera saja diilhamkan penciptanya dengan jiwa. Maka, setiap lambang dan warnanya menonjolkan maksud tertentu. Yang pasti, bahagian berwarna biru tua yang bermaksud perpaduan membawa pengertian paling mendalam kerana mewakili seluruh warga negara.

Apabila masyarakat saling bersatu, kejayaan pasti menyusul seperti dibuktikan melalui pembinaan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pencakar langit diiktiraf antara tertinggi di dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); lapangan terbang menawarkan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, Litar Sepang yang dikunjungi ribuan orang saban kali Formula 1 berlangsung, Putrajaya; kompleks pentadbiran kerajaan dan destinasi pelancongan selanjutnya penubuhan Petronas, Proton, Khazanah Nasional Berhad dan sebagainya.

Arba’iyah berkata, semangat ‘biru tua’ harus dibawa ke mana saja kaki melangkah serta meliputi pelbagai aspek. Sukan antara kegiatan paling mengalu-alukan pembabitan bendera. Di sini bendera berperanan sebagai medium perpaduan dan penghormatan sekali gus.

“Sokongan terhadap atlit negara di temasya sukan antarabangsa diterjemahkan menerusi bendera yang dijulang dan dikibarkan. Ia menjadi senjata utama membangkitkan semangat juang. Penghormatan terhadap negara yang memenangi sesuatu kejohanan ditunjukkan dengan menaikkan bendera negara berkenaan bersama lagu kebangsaannya,”katanya.

Sementara, dalam peperangan, bendera dijadikan sumber kekuatan dan perpaduan tentera. Panji yang dibawa sewaktu bertempur selain menyemarakkan semangat patriotisme juga berfungsi membezakan pasukan sendiri dan musuh ditentang.

“Bercakap mengenai patriotisme langsung saya teringat isu pembakaran bendera. Bagi saya, bukan semua bersetuju dengan perbuatan itu tetapi bagi yang sayang dan hormatkan benderanya tentu marah serta kecewa. Dinilai dalam implikasi lebih besar, perlakuan ini mengundang rasa tidak hormat pihak luar terhadap negara kita yang akhirnya membuka peluang penjajahan semula. Sikap tidak baik ini perlu dikikis segera bagi mengelakkan campur tangan asing,” katanya.

Arba’iyah berkata, perlu ada langkah memupuk perasaan sayang dan hormat terhadap simbol kebanggaan negara ini. Langkah awal seharusnya bermula dari rumah membabitkan ibu bapa.

“Ibu bapa memikul tanggungjawab menyemai rasa kasih terhadap bendera, memperkenalkan selanjutnya menerangkan fungsinya kepada anak-anak. Keprihatinan ditunjukkan dengan cara mengibarkan bendera di rumah terutama menjelang Bulan Kemerdekaan.

“Sekurang-kurangnya anak-anak sedia mengenali fungsi dan kepentingan bendera sebelum memasuki alam persekolahan. Rasa hormat menerbitkan sayang dan cinta kepada negara,” katanya yang turut mencadangkan sukatan pelajaran pendidikan moral dan kewarganegaraan diselitkan pengetahuan mengenai Jalur Gemilang.

Ilmu diterapkan perlu mengambil kira etika dan tatacara memelihara bendera negara meliputi cara mengibar, melipat dan menyimpannya. Dalam pada itu, pengibaran bendera dibudayakan kerana dari sini jati diri, hormat dan kasih dapat diwujudkan.

“Budaya ini saya lihat belum menular dalam jiwa masyarakat. Saya pernah ke Turki ketika musim Piala Dunia lalu dan kagum dengan kecintaan mereka terhadap bendera.

“Penghormatan ditunjukkan dengan cara menggantung dan mengibar negara di segenap ceruk dan tempat, bukan saja di premis perniagaan bahkan di pintu masuk negara, berderetan di tiang lampu, papan iklan dan sebagainya. Tidak payah tunggu Hari Kemerdekaan, bila-bila masa pun semangat ingin menonjolkan bendera perlu ada,” katanya.

Beliau berkata, pengisian kemerdekaan bukan sekadar menggantung bendera dan mengibarkannya sewaktu perbarisan tetapi dizahirkan melalui penganjuran program berbentuk pertandingan melukis bertemakan Jalur Gemilang, kuiz, syarahan, pidato, perbahasan dan sebagainya.

Histeria penyakit psikiatri



SEORANG pelajar mangsa histeria cuba ditenangkan oleh rakan-rakan.

Serangan berlaku kerana konflik, tekanan tidak terkawal

KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya.

Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.


Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju.

Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju.

Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.

Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan.

Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian.

Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal.

Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .

Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an.

Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar.

Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain.

“Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya.

Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki.

Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah.

“Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing.

Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat.

Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan.

“Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan.

Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

“Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.

Imbas kembali

Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini


28 Ogos 2008

KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.

8 Ogos 2008

KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi.

KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.

7 Ogos 2008

SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.

4 Ogos 2008

TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.

24 Julai 2008

KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari.

Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.

17 Julai 2008

NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.

19 Jun 2008

CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.

24 April 2008

TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita.

Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.

14 April 2008

SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.

31 Januari 2008

DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.

Mercedes dinaiki Diana mahu dijual

LONDON: Kedua-dua anak mendiang Puteri Diana, Putera William dan Putera Harry, berdepan penderitaan baru berhubungan kematian ibu mereka selepas syarikat yang memiliki Mercedes dinaiki puteri itu ketika kemalangan jalan raya di Paris mendedahkan ia ingin menjualnya berdasarkan sejarah kenderaan mewah itu.

Bangkai kereta hitam S280 itu, yang melanggar tiang terowong yang membunuh Diana, teman lelakinya, Dodi al-Fayed dan pemandu, Henri Paul, disimpan di pekarangan ibu pejabat Polis Metropolitan di selatan London sejak Julai 2005.

Ia dibawa dari Paris untuk tujuan pemeriksaan menjelang siasatan berhubung kematian Diana, yang kemudian diputuskan sebagai kemalangan lima bulan lalu.

Namun kini, Pengurus Etoile Limousines beribu pejabat di Paris, Jean-Francois Musa, menuntut kembali kereta itu dan berkata: “Ia boleh mendapatkan pulangan lumayan.”

Musa juga berkata akan menawarkan bangkai kereta itu kepada bapa Dodi, Mohamed al-Fayed, walaupun malam kelmarin pemilik gedung beli belah mewah itu menolak idea berkenaan dan menyifatkan ia sebagai ‘menjijikkan.’

Sumber kanan istana malam kelmarin mendedahkan William dan Harry mahu Mercedes itu dimusnahkan ‘secara persendirian dan rahsia’ untuk menghalang ia jatuh ke tangan pemburu cenderamata.

Dipercayai kereta itu - yang berharga £70,000 (RM429,606) boleh mencecah sehingga £1 juta (RM6.1 juta).

Sumber berkata: “Kedua-dua putera itu mahu menamatkan semua ini. Pandangan mereka kereta itu perlu dimusnahkan secara senyap.”

Bangkai kenderaan berkenaan masih mempunyai kesan darah akibat kemalangan pada malam 31 Ogos 1997 itu, apabila Paul melanggar tiang konkrit dalam terowong Pont d’Alma ketika jurugambar mengejar kereta berkenaan dengan motosikal.

Penjara khas pesalah rasuah

JAKARTA: Kerajaan akan membina penjara khas bagi mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah dalam usaha meningkatkan perang terhadap jenayah berkenaan.

The Jakarta Post melaporkan, negara itu memerlukan kemudahan baru itu untuk mengatasi peningkatan jumlah jenayah kolar putih itu berikutan penjara sedia ada sudah semakin sesak, kata Menteri Kehakiman dan Hak Kemanusiaan, Andi Mattalata.

"Kami membincangkan rancangan itu bersama Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK). Kini ia terpulang kepada belanjawan kerajaan untuk merealisasikan rancangan berkenaan," katanya kepada pemberita sempena lawatan ke penjara Bekasi.
KPK ditubuhkan kerajaan pada 2004 untuk membantu membanteras rasuah di negara itu yang sudah pun menyaksikan penahanan beberapa ahli perundangan dan perniagaan yang terbabit dalam jenayah berkenaan.

"Keutamaan bagi penjara khas ini adalah di bandar raya besar di mana rasuah dipercayai berleluasa," kata Andi.

Hadiah kepada pegawai kerajaan yang pernah disifatkan sebagai halal kini menjadi sebahagian daripada amalan rasuah yang membawa kepada meningkatnya bilangan kes itu di negara ini.

Indonesia pada masa ini mempunyai pusat pemulihan khas bagi kanak-kanak, wanita dan pengedar dadah.

Penjara di seluruh negara itu berhadapan dengan masalah kesesakan kerana secara purata menempatkan dua kali ganda jumlah banduan daripada kapasiti sebenarnya, kata Andi.

Murid terdedah risiko hidu bahan kimia bertoksik

LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa ramai murid sekolah berisiko menghidu bahan kimia bertoksik di dalam kelas menerusi penggunaan peralatan seperti papan putih atau 'white board,' komputer dan projektor.

Malah, penyelidik Universiti Birmingham itu mendakwa bilik darjah sebagai tempat yang jauh lebih bahaya berbanding di rumah atau dalam kereta.

Minggu lalu, seorang wanita berusia 28 tahun, Leigh Carlisle, mati akibat masalah mesothelioma selepas lama disyaki tisu badannya dipenuhi sel barah akibat terdedah kepada bahan asbestos di kelas sekolah rendahnya pada 1980-an.

Laporan disiarkan keluaran khas Pendidikan akhbar The Times mendakwa habuk serta debu yang ditemui dalam kelas dikatakan dicemari bahan pencemar yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia.

Pakar itu juga mendakwa paras bahan kimia di dalam kes meningkat sejak 20 tahun selepas bilik itu sarat dengan peralatan seperti papan putih, komputer dan projektor.

Berikutan itu, aktivis kini menggesa supaya lebih banyak kajian dibuat bagi mengesan paras bahaya serta bahan pencemar yang boleh meresap masuk ke dalam sistem badan dan tisu manusia.

"Hasil ujian kami menunjukkan bilik darjah sememangnya dipenuhi bahan kimia berbahaya. Kita sudah pun tahu yang kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada bahan pencemar berbanding dewasa, termasuk debu serta habuk. Malah mereka juga lebih berisiko mengalami pelbagai masalah, termasuk kesihatan akibat terhidu bahan kimia berkenaan," kata penyelidik terbabit, Emma Goosey.

Penyelidik universiti itu mengkaji sampel 20 kelas sekolah rendah dan tadika di sekitar kawasan Midlands Barat menggunakan alat vakum khas.

Sampel debu itu kemudian diuji kandungan bahan kimianya di makmal. Keputusan ujian membuktikan ia mengandungi bahan kimia HBCD, TBBP-A, PFOS dan PFOA - pencemar organik yang tidak lenyap dalam persekitaran

Gajah Asia bijak selesai matematik

TOKYO: Memori yang dimiliki gajah sudah dianggap legenda tetapi dalam satu keadaan amat memeranjatkan kepada bidang sains, gajah Asia sebenarnya juga mempunyai kebolehan dalam matematik.

Dalam keadaan uji kaji yang dikawal rapi - dengan kandang besar dan dua bakul buah-buahan - seekor gajah di Zoo Ueno di Tokyo mampu menyelesaikan matematik dengan ketepatan 87 peratus.

Bakat yang dimiliki mamalia darat terbesar itu ditemui pakar ekologi di Universiti Tokyo, Naoko Irie yang mahu menamatkan tesis kedoktorannya.


Dalam uji kaji itu, tiga biji epal diletakkan dalam satu bakul dan lima lagi dalam bakul bersebelahan. Dua biji epal lagi ditambah dalam setiap bakul, menjadikan bakul pertama dengan lima biji epal dan yang kedua tujuh biji.

Tidak mampu melihat dalam bakul berkenaan atau mengira dengan belalainya, gajah berusia 30 dinamakan Ashiya itu memiliki bakul yang mempunyai lebih banyak epal di dalamnya, dengan mengira setiap satu daripadanya seolah-olah ia diisi dengan bahan.

Aktiviti berfikir galak makan lebih banyak

Kerja intelektual perlukan kalori berlebihan, penyumbang gemuk

ONTARIO: Satu kajian baru mendedahkan aktiviti intelektual sebenarnya menjadikan orang ramai makan lebih banyak berbanding sekadar berehat.

Hasil kajian berkenaan mungkin membantu menjelaskan masalah kegemukan di kalangan masyarakat yang cuma duduk dan berfikir, lapor LiveScience.com.

Penyelidik membahagikan 14 penuntut universiti kepada tiga kumpulan untuk sesi selama 45 minit sama ada berehat dalam keadaan duduk, membaca atau mengingati teks, atau menyelesaikan siri ujian memori, perhatian dan teka teki pada komputer.

Saintis mendapati, kumpulan pemikir berkenaan mengambil cuma tiga kalori lebih berbanding kumpulan yang berehat. Selepas sesi itu, peserta dijemput makan sebanyak yang mereka mahukan.

Walaupun kajian membabitkan jumlah peserta yang amat kecil, hasilnya mengejutkan. Penuntut yang melakukan ujian komputer mengambil 253 lebih kalori, atau 29.4 peratus lebih berbanding kumpulan yang berehat. Mereka yang mengingati teks pula mengambil 203 lebih kalori berbanding kumpulan berehat.

Contoh darah yang diambil sebelum, ketika dan selepas mendedahkan kerja intelektual menyebabkan perubahan lebih besar dalam paras glukos berbanding tempoh rehat, kemungkinan berpunca dari tekanan berfikir.

Penyelidik menganggarkan reaksi tubuh kepada perubahan itu dengan menghendaki lebih banyak makanan untuk mengembalikan glukos, gula yang memberi tenaga kepada otak. Glukos ditukar oleh tubuh dari karbohidrat dan dibekalkan kepada otak menerusi saluran darah.

Otak tidak dapat menghasilkan glukos dan memerlukan bekalan berpanjangan. Sel otak memerlukan tenaga dua kali lebih banyak berbanding sel lain dalam tubuh.

Bagaimanapun, tanpa senaman untuk menyeimbangkan pengambilan tambahan, 'makanan otak mungkin tidak terlalu bijak.' Pelbagai kajian pada haiwan menunjukkan pengambilan sedikit kalori secara keseluruhan membawa kepada otak lebih tajam dan umur lebih panjang dan kebanyakan penyelidik bersetuju kajian itu turut memberi kesan sama pada manusia secara umumnya dan jelas banyak makan menjadikan seseorang itu gemuk.

"Pengambilan kalori berlebihan berikutan kerja intelektual, digabungkan dengan hakikat mereka kurang melakukan aktiviti fizikal ketika melakukan tugasan intelektual, mungkin menyumbang kepada wabak kegemukan yang kini semakin diawasi di negara maju, " kata ketua penyelidik, Jean-Philippe Chaput di Universiti Laval di Quebec City, Kanada.

Macam-macam: Lemak badan bantu lelaki elak maut

DORTMUND: Seorang mangsa samun di Jerman terselamat meskipun terkena tembakan selepas peluru itu terlekat pada lemak badannya.

Malah, Rolf Mittelhaus, 49, tidak sedar dia ditembak sehinggalah diperiksa selepas melaporkan serangan berkenaan kepada polis, dua hari kemudian.

“Penyamun menyerang saya dan saya terdengar letupan kuat tapi saya mabuk dan tidak mengetahui apa berlaku; saya juga tidak berasa sakit,” katanya kepada polis di sini.


Pegawai perubatan menemui peluru itu terlekat dalam gumpalan lemak pada badan Mittelhaus ketika pemeriksaan mengesan kecederaan.

Fibroid Akibat Daripada Ketidakseimbangan Hormon

Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.

Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.

Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.

Gejala-gejala Fibroid

Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.

Gangguan Haid

Saya telah nyatakan di atas, bahawa tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya.

Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan.

Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan

Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.

Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.

Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing

Pundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.

Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)

Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.

A Balanced Diet

Nutrients are chemicals in foods that are used by our body to enable it to live and grow. Some of the nutrients in foods are not usually needed because our body can accommodate the nutrients supply from other chemicals in the foods. However, to get optimal body functions, the daily food intake should contain 46 types of essential nutrients; carbohydrates, fat, fiber and clean water.

Besides from that, Dr Ragner Berg of the USA recommends that the daily food serving should be 80% alkaline based and 20% acidic based to obtain good health.

If our cell gets insufficient nutrients, cell metabolism process will be disrupted thus attracting chronic diseases. Different types of nutrients are inter-related with each other. It means that they need each other to work. For example if Vitamin D is not enough, our cell cannot absorb Calcium. It is important that we try to get a balanced diet daily because if any one of the nutrients is insufficient, our health will be jeopardized.

Cancer Society of America have reported that death caused by cancer can be avoided because it is a disease caused by bad dieting, physically inactive, obesity and other factors related to lifestyles. It is also reported that 1/3 of death by cancer in the US is caused by bad dieting. So it is clear that a proper diet program affects our health.

If you are reading this, it means that you are already or have become health conscious and you are willing to do whatever it takes to start or continue to take care of your health. It is very important that we have the basic knowledge about dieting and balanced nutrition and its additional source to help us take care of our body.

Please go through previous posts to know more about MRT concept to better health and tune in to future posts to know why we are not getting enough Oxygen to our cells.

Merawat Bibir Yang Hitam

Petua untuk memerahkan kembali bibir anda yang telah hitam kesan penggunaan lipstik yang salah.

Sapukan madu ke bibir selama lebih kurang 15 minit. Kemudian bilas dengan air.


Sapukan ubat gigi ke bibir 3 minit sebelum mandi. Di samping memerahkan bibir, ubat gigi ni juga boleh membuang semua kesan lipstik pada bibir anda.

Cara Mengelak Gigi Rosak atau Reput

Boleh dikatakan hampir setiap orang mengalami kerosakan gigi, tetapi mengenangkan rasa ngilu apabila gigi dibersihkan membuat ramai lebih rela memendamkan masalah dalam mulut sehingga melarat.

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Teo Choo Kum, berkata dua masalah utama melanda masyarakat kita, khususnya di kalangan orang dewasa, iaitu pereputan gigi dan masalah kesihatan gusi.

Berdasarkan kajian, kadar pereputan gigi paling tinggi berlaku di kalangan golongan berumur 35 hingga 44 tahun iaitu sebanyak 96.5 peratus, diikuti 91.5 peratus (25 hingga 39 tahun) dan 80.9 peratus di kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Mengapa kadar pereputan gigi paling tinggi berlaku di kalangan orang dewasa yang sepatutnya lebih peka pada kebersihan dan kesihatan mulut mereka? Faktor gaya hidup, kesibukan kerja dan kecuaian menyebabkan mereka menangguhkan temu janji dengan doktor gigi, walaupun ia hanya perlu dilakukan dua kali dalam setahun.

Keadaan sebaliknya berlaku di kalangan pelajar sekolah yang lebih kerap menjalani pemeriksaan gigi oleh jururawat yang datang ke sekolah atau pergi sendiri ke klinik.

Walaupun secara keseluruhan kadar masalah kerosakan gigi menunjukkan pengurangan, tetapi berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak di negara kita antara paling banyak mengalami masalah kesihatan mulut, khususnya pereputan dan kehilangan gigi, serta menjalani rawatan tampalan.

Dr Teo berkata, pereputan gigi kanak-kanak biasanya bermula dari atas (hujung gigi) manakala bagi orang dewasa masalah pereputan berlaku di celah-celah gigi.



Bakteria dalam mulut akan bertindak ke atas makanan yang tertinggal atau terselit di celah gigi, menghasilkan lapisan melekit berwarna putih kekuningan di panggil plak.

“Jika gigi tidak dibersihkan dengan baik, lapisan bakteria ini akan terus membiak. Apabila kita makan makanan bergula atau berkanji, bakteria akan menghasilkan asid untuk menyerang enamel (lapisan luar gigi). Kehadiran plak akan memudahkan asid melekat pada enamel, lama kelamaan menyebabkan gigi reput dan berlubang.

Gusi berdarah

“Simptom kerosakan gigi mudah dikesan, tetapi ramai mengabaikannya. Pada awalnya gigi akan sensitif (rasa ngilu) pada makanan manis, masam dan sejuk, gusi berdarah apabila memberus gigi atau gusi bengkak dan merah.

“Ini adalah tanda-tanda awal gingivitis dan jika tidak mendapatkan rawatan, gigi akan rosak dan reput. Seterusnya, anda juga sensitif terhadap makanan panas dan ini biasanya mula dirasai apabila anda sakit gigi,” katanya.

Plak yang terkumpul akan menjadi keras membentuk kalkulus (tartar). Kalkulus yang melekat pada gusi juga menjadi laluan untuk bakteria menyerang dan merosakkan tulang rahang; yang akhirnya menyebabkan gigi goyang. Pada peringkat serius, gigi boleh tercabut dengan mudah kerana tulang rahang yang sepatutnya menjadi pemegang sudah diserang bakteria.

Penjagaan gigi seharusnya bermula dari kecil, iaitu sebaik anak mula tumbuh gigi (sekitar usia enam bulan). Ketika ini, ibu bapa boleh memupuk tabiat menjaga kesihatan mulut dengan menggosok gigi anak dengan kain lembut selepas menyusu.

Dr Teo berkata, gigi susu yang rosak juga sebaik-baiknya dirawat atau ditampal jika berlubang. Ini bertujuan mengekalkan gigi susu di kedudukan asalnya sebagai panduan kepada laluan gigi kekal supaya ia tumbuh cantik dan teratur.

Antara teknik rawatan gigi yang sering digunakan termasuk tampalan, pengkoronaan (crowning) iaitu gigi palsu dibentuk dan disalut pada gigi reput, brigde atau implan gigi palsu — yang semuanya perlu dijaga seperti gigi asli.

“Penggunaan flos juga penting untuk membersihkan bahagian celah gigi yang sukar dicapai berus. Selain itu, cecair kumur juga mampu membantu mengurangkan masalah kerosakan gigi, selain mengharumkan nafas.

“Pastikan juga gusi anda sentiasa sihat. Gusi yang sihat berwarna merah jambu atau merah samar. Jika gusi bengkak, merah, sakit dan sering berdarah atau ulser yang tidak sembuh selepas dua minggu, anda dinasihatkan berjumpa doktor gigi. Ia mungkin petanda penyakit lain. Jangan tunggu hingga sakit gigi atau gusi baru hendak jumpa doktor,” katanya.

Gigi rosak bukan saja tidak cantik, tetapi ia sebenarnya memberi gambaran jelas mengenai keprihatinan kita menjaga kebersihan diri. Malah, kerosakan gigi juga secara tidak langsung mampu menjejaskan imej dan keyakinan seseorang.

KENCING BERCAMPUR DENGAN DARAH

Kencing Berdarah

Samaada sakit atau tidak

Samaada kencing berdarah itu pekat atau tidak

Samaada kencing berdarah itu berlaku sekejap-sekejap atau berterusan semasa kencing

Samaada kencing berdarah itu mempunyai darah beku atau tidak

Samaada kencing berdarah itu berlaku pertama kalinya ataupun sudah beberapa kali. Adalah penting perkara ini disiasat.

Jangan biarkan ianya berulang, barulah hendak berjumpa doktor

Apakah perkara ini serius ?

Ya, ada kemungkinan telah berlaku kerosakan serius didalam buah pinggang atau pundi-pundi kencing dan amatlah mustahak ujian-ujian dan pemeriksaan dilakukan secepat mungkin. Disebaliknya pula, ia mungkin satu jenis jangkitan yang hanya perlu dirawat dengan antibiotik sahaja.

Apakah yang doktor anda akan lakukan ?

Mula-mula ia akan bertanya anda samaada terdapat gejala-gejala seperti sakit atau susah semasa kencing. Selepas itu ia akan melakukan satu pemeriksaan fizikal yang sempurna. Satu contoh air kencing akan diperiksa dan ujian lanjut perlu diadakan berdasarkan perubahan-perubahan yang terdapat pada contoh air kencing itu.

Apa yang berlaku selepas ini ?

Sekiranya doktor anda berpendapat bahawa ujian-ujian tambahan perlu diadakan maka salah satu daripadanya adalah mengambil Xray buah pinggang dan pundi-pundi kencing anda. Ujian ini dikenali sebagai Intravenous Pyelogram atau Urogram (IVP atau IVU). Sekiranya ia mengesyaki yang pendarahan berlaku dalam pundi-pundi kencing anda satu pemeriksaan Cystoscopy perlu diadakan. Ini dilakukan dengan menggunakan satu alat khas untuk melihat ke dalam pundi-pundi kencing, biasanya pesakit akan dibius menggunakan gas. Sekiranya doktor anda mengesyaki ada pendarahan berlaku dalam unit-unit penapisan microscopic buah pinggang, sedikit ‘tisu’ buah pinggang adalah perlu diambil dengan menggunakan jarum khas (kidney Biopsy) untuk menentukan diagnosa keadaan ini.

Sila ambil Perhatian:

Sekiranya anda mengalami kencing berdarah, dapatkanlah nasihat doktor secepat mungkin dan ikutilah segala nasihat-nasihatnya.

INFEKSI SALURAN KENCING

Infeksi saluran kencing

Ini adalah satu masalah yang paling kerap dirawat oleh para doktor. Infeksi saluran kencing boleh digelar ‘infeksi’ pundi-pundi (cystitis”)jika bacteria terdapat di pundi-pundi atau infeksi ginjal (pyelonephritis) jika bacteria terdapat di ginjal (buah pinggang)

Tanda-tanda amaran penyakit infeksi saluran kencing

Kanak-kanak yang kencing di masa dalam tidur

Buang air kencing dengan kerap

Sakit dan rasa pedih ketika buang air kencing

Demam dan rasa seram sejuk

Sakit atau lenguh di belakang dibawah tulang rusuk

Fakta-fakta berkaitan dengan infeksi saluran kencing

Kanak-kanak perempuan lebih kerap mendapat infeksi saluran kencing- lebih kurang 80 kali ganda- dari kanak-kanak lelaki

Kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki yang mengidap infeksi saluran kencing mempunyai saluran kencing yang luar biasa (abnormal) adalah besar. Setengah dari kanak-kanak perempuan yang mengidap infeksi saluran air kencing juga mempunyai saluran kencing yang luar biasa (abnormal)

Kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda infeksi saluran kencing mesti dibawa ke doktor untuk pemeriksaan selanjutnya. Kebanyakkan kerosakan ginjal akibat infeksi di masa kanak-kanak. Infeksi saluran kencing adalah salah satu sebab penting mengakibatkan kerosakan tetap ginjal bagi kanak-kanak. Walaubagaimanapun, infeksi saluran kencing bagi pesakit yang mempunyai saluran kencing yang biasa jarang sekali membawa kerosakan ginjal.

Pengubatan infeksi saluran kencing

Ubat antibiotik selalunya diberi dengan berkesan. Ubat-ubat juga diberi untuk mengurangkan sakit dan kerap kencing. Kepada kebiasaannya doktor akan memeriksa anda sekali lagi untuk menentukan yang infeksi telah dirawat dengan sempurna. Pemeriksaan selanjutnya mungkin dikehendaki terutama bagi kanak-kanak dan apabila saluran kencing disyaki tidak normal.