CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, September 8, 2008

Penjara khas pesalah rasuah

JAKARTA: Kerajaan akan membina penjara khas bagi mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah dalam usaha meningkatkan perang terhadap jenayah berkenaan.

The Jakarta Post melaporkan, negara itu memerlukan kemudahan baru itu untuk mengatasi peningkatan jumlah jenayah kolar putih itu berikutan penjara sedia ada sudah semakin sesak, kata Menteri Kehakiman dan Hak Kemanusiaan, Andi Mattalata.

"Kami membincangkan rancangan itu bersama Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK). Kini ia terpulang kepada belanjawan kerajaan untuk merealisasikan rancangan berkenaan," katanya kepada pemberita sempena lawatan ke penjara Bekasi.
KPK ditubuhkan kerajaan pada 2004 untuk membantu membanteras rasuah di negara itu yang sudah pun menyaksikan penahanan beberapa ahli perundangan dan perniagaan yang terbabit dalam jenayah berkenaan.

"Keutamaan bagi penjara khas ini adalah di bandar raya besar di mana rasuah dipercayai berleluasa," kata Andi.

Hadiah kepada pegawai kerajaan yang pernah disifatkan sebagai halal kini menjadi sebahagian daripada amalan rasuah yang membawa kepada meningkatnya bilangan kes itu di negara ini.

Indonesia pada masa ini mempunyai pusat pemulihan khas bagi kanak-kanak, wanita dan pengedar dadah.

Penjara di seluruh negara itu berhadapan dengan masalah kesesakan kerana secara purata menempatkan dua kali ganda jumlah banduan daripada kapasiti sebenarnya, kata Andi.

0 comments: